Tembok Aurora

Oleh Najua Nadira

 

Semboyan cinta masih menderu

Walau lama telah ditinggalkan

Walau lama jasad tidak bersua

Walau pandangan semakin samar

Tetap gejolak hati masih bertaut

Tetap rindu menikam sanubari.

 

Istana Turku menjadi saksi

Pertemuan yang diatur Ilahi

Bersinar semula harapan hati

Mengukir pada takdir yang menanti

Sirna dihujung pintu kasih Nirmala

Mencoret sekelumit wadah asmara.

 

Meniti pula disyurga dunia

Masjid al-Iman bukti segala

Kiblat kami arahnya berbeza

Walau mengangkat langit serupa

Walau berdiri di bumi satunya

Namun takbir menghalang semua

Bagai tembok besar terbina

Dalam sela jarak berdua.

 

Tertikam rasa lubuk didada

Sebuah ikatan bersimpul rapi

Bagai terlerai tanpa dipaksa

Sebuah harapan menggunung tinggi

Runtuh punah hancur segala

Umpama tersiat hati nurani

Dalam kasih bersulam dusta

Ingin dinokhtah begitu saja.

 

Puing-puing cinta bertaburan

Di atas pasak bumi Ilahi

Tiada daya ingin berlutut

Mengutip serpihan kaca gelora

Hanya sebaris doa terhimpun

Buat pemilik hati sementara

Takdir itu milik Allah

Namun himpunan doa

Masih milik kita.

 

Di sini aku tanamkan

Benih cinta tiada bermekar

Di tembok tinggi ini

Bertatahkan cahaya aurora

Bukti cinta tidak tertulis

Dua insan berbeza ukhrawi

Yang mencari lorong makna

Buat kasih bersinar semula.

 

Bangi, Selangor

19 November 2024






Desir Kasih Suci

Oleh Najua Nadira

 

Wahana kasih permata bonda

Yang ditelapak kakinya ada syurga

Yang pastinya diharapkan semua

Tubir matanya sentiasa bersinar

Dengan deruan pawana kasih.

 

Tubuh munggilnya mula membengkok

Namun masih kuat memerah keringat

Dalam debu putih dingin

Dalam terik mentari memancar

Dalam kencang bayu bertiup

Tetapi tiada kata lelah terpahat

Di bibir mahu di raut wajahnya

 

Duduk kami di bangku kayu

Terhias mata oleh warna bunga

Tulip dan lili mekar sempurna

Di bumi Finland kami berpijak

Mengatur langkah mengurai cerita.

 

Tertancap mata ini

Cantik ayunya bondaku

Masih sama seperti muda

Entah apa kotak rahasianya

Kekal begitu walau dimamah usia.

 

Bonda, anakmu ini semakin dewasa

Entah halaman mana yang masih utuh

Putih tanpa sebarang coretan cerita

Entah luas mana ruangan kisah

Yang masih bolehku tuliskan

Kisah kita berdua

Berjasa dalam denyut nadimu

 

Walau engkau tidak lagi mengenal

yang pernah hadir dalam rahimmu

 yang pernah engkau suap

 yang pernah engkau gendong

yang pernah engkau usap

Setiap titis airmatanya.

Aku tidak peduli

Kerana tarungan nyawamu

Membuat aku wujud di sini

Menemani disetiap hari lanjutmu.

 

Di tanah bunga lili ini,

Menjadi bukti kejayaanku

Menempa nama mencipta jaya

Berpeluang memenggam tanganmu

Menyaksikan aku di tempat baru

Melakar tugasku dengan izin restumu

Setelah lama kau sendiri

Di rumah besar

Di tanah air

Kini aku dan bonda

Sudah sedekad di tanah asing

Yang terlimpah meruah

Rezeki Ilahi buat kami.

 

UKM, Bangi

20 November 2024

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog